Tetamu Yang Dihormati

Bila Menyinggah tu..KLIK LA SEKALI ye..

Thursday, July 29, 2010

Hospital Kerajaan vs Hospital Swasta.

Hari ini, aku ada temujanji dengan doktor untuk pemeriksaan bulanan. Semua ok, cuma tak de scan. Aku pun tak ada lah pula nak meminta. Jadi, sampai sekarang aku dan suami tertanya-tanya apa jantina bayi di dalam kandungan ini. Adik lelaki atau perempuan untuk Izzat..? Itulah dinamakan kejutan suatu hari nanti. Aku pun tak kisah, asalkan dia cukup sifat dan sihat ketika dilahirkan. Itu adalah anugerah Allah yang paling tak ternilai.


Doktorku menyatakan bahawa temujanji berikutnya, adalah yang terakhir di kliniknya. Seterusnya, aku dah boleh buat rawatan susulan di hospital pilihan. Jadi, dalam perjalanan pulang tadi, aku dah suami berbincang. Aku katakan yang aku tak kisah yang mana, asalkan selamat semuanya.


Pengalaman yang sulung, suami memilih hospital swasta. Oleh itu, aku belum ada pengalaman dengan hospital kerajaan. Melalui cerita adik aku, saudara mara dan kawan-kawan yang pernah melahirkan anak di hospital kerajaan semuanya agak negatif. Hairan juga aku, kenapa mesti ada perbezaan itu. Tapi, aku pun ada juga menghadapi kejadian tersebut. Memang agak nak mengamuk juga. Tapi, bukan kisah nak lahirkan anak. Cuma rawatan dalam berpantang.

Apa pun, aku katakan ini nasib. Sebab, ramai lagi berlambak-lambak lahirkan anak di hospital kerajaan. Ok je, atau mereka tahan je telinga atau bersabar dengan apa yang berlaku. Benda ni bukan baru, dari zaman emak-emak dulu. Entah lah...

Seperti yang ku katakan, apa pun aku harapkan semuanya selamat. Bila dah nak keluar kepala budak, dah tak de masa nak fikir best ke tak best ke..yang penting biar dia keluar dulu.

Cuma yang aku takut, selepas itu. Kalau dia suruh aku ni berjalan sendiri ke hulu ke hilir teruk la aku. Kalau kejadian dulu tak berulang, tak apa la.

Dulu, aku macam lumpuh susah nak bergerak lepas lahirkan anak sulung. Nasib baik emak ada, dan hospital tempat aku bersalin tu memang terlalu bertimbang rasa. Maklumlah bayar mahal kot..nasib baik ditanggung..Jadi, tak adalah aku susah nak bergerak ke sana ke mari.

Tapi, bila rawatan dengan hospital kerajaan. Dia tanya, siapa bersihkan jahitan. Aku jujur dan ikhlas jawab emak aku la, sebab aku tak boleh nak bangun tunduk dan buat sendiri. Dia jawab " jangan manja-manjakan badan sangat". Aku yang agak bengang, jawab lagi sekali aku tak boleh tunduk faham tak, tulang punggung aku pernah retak..nak jalan pun susah. Dah tu nak cek aku pun macam geli-geli. Mereka ini jururawat atas dasar apa, di mana keikhlasan mereka membuat rawatan terhadap pesakit. Mungkin segelintir saja kot, tapi segelintir ni lah yang orang selalu nampak.


Bila difikirkan balik, takutnya kejadian dulu berlaku. Ish..derita rutin berpantang aku. Sedih menangis tak senang duduk, sampai tak pasal-pasal tekanan darah aku melambung tingginya. Dugaan besar benar pada waktu itu. Nasib baik aku mampu mengawalnya, kalau tak mungkin dah dapat angin meroyan aku. Bahaya tu..bagi kawan-kawan yang sedang berpantang tu, jangan lupa isi masa lapang dengan berzikir dan ingat kepada Allah. Untuk mengisi ruang rahim yang dah kosong tu, kalau tak benda yang tak baik akan mengambil kesempatan ke atas keadaan kita.

Semua pengalaman itu memang mengerikan. Tapi, itu lah yang mendidik aku dalam menyediakan diri untuk menjadi ibu yang lebih bertanggungjawab. Dan syukur kepada Allah dengan pemberiannya, Muhammad Izzat Yusuf...sekarang ni, kami nantikan ahli yang baru..

Saturday, July 24, 2010

PIKAT WANITA DENGAN KATA-KATA.



Tidak semua lelaki mempunyai kemahiran untuk memulakan sebuah bicara. Orang selalu mengaitkan bahawa lelaki yang sudah berkahwin lebih pandai bermadah dan petah berbicara dalam menambat hati wanita. Lelaki bujang pula dilihat sebaliknya malah ada yang tergagap-gagap memulakan perbualan.
Bagi si bujang yang berhadapan dengan ini, anda seharusnya memperbaiki kemahiran ini. Jangan kerana tersilap cakap, anda 'membunuh' semua usaha-usaha untuk memulakan sebuah perhubungan dengan wanita yang anda minati.
Oleh itu, anda perlu tahu apa yang perlu diugkapkan ketika berhadapan dengan mereka. Ikuti panduan ini:


1. PUJI DENGAN KATA-KATA MANIS.

Apabila anda meminati seorang wanita, ungkapkanlah kata-kata manis di awal perkenalan. Beritahu dirinya bahawa anda sudah lama memerhatikan dirinya, menyukainya dan menyenangi akan sikapnya.

Percayalah apabila anda memulakan sebuah pujian, sudha tentu si gadis manis yang anda puji itu akan tersipu-sipu malu. Wanita luarnya nampak seperti keras tetapi dalamannya sangat lembut. Jadi pujilah dengan kata-kata yang manis, percayalah si dia akan menjadi milik anda.

2. JANGAN SESEKALI MENGELUARKAN KATA-KATA KESAT

Sesetengah orang suka bergurau dan ada kalanya perkataannya agak kasar didengari. Sekalipun bergurau, jangan anda perlekehkan dirinya. Ini merupakan satu kesalahan yang agak besar dan kalau anda tersalah langkah, anda akan rugi kerana si dia sudah tidak berminat untuk meneruskan perhubungan. Tidak ada orang yang suka kepada perbuatan yang menyakitkan hati. Sebaliknya, pujilah dia dan percayalah hubungan anda akan lebih bertambah mesra.

3. JANGAN BERSIKAP KASAR.

Memarahi, memperlekeh, memperbodohkan orang dan sebagainya adalah satu sikap biadab dan paling tidak digemari oleh wanita. Kadang kala kita sudah terbiasa mengeluarkan kata-kata begitu ketika bergurau dengan kawan-kawan lelaki tetapi ingatlah, jiwa wanita tidak sama dengan lelaki.

Jiwa mereka lebih sensitif dan mudah terluka. Jangan hanya disebabkan dengan satu dua perkataan begini, hubungan anda akan renggang. Bersopanlah kerana lelaki yang bersopan biasanya lebih disukai dan diminati ramai wanita.

4. JANGAN TUNJUKKAN MEMEK MUKA.

Memek muka ketika berbicara juga adalah satu aspek penting dalam sebuah perhubungan. Kalau si dia berbicara dengan anda, jangan sesekali membuat memek muka seolah-olah anda tidak bersetuju dengan pendapatnya itu. Sebaliknya, kalau anda tidak bersetuju dengan pendapatnya, berilah komen-komen yang agak positif.
Itu adalah petikan artikel yang saya petik dari Majalah Wanita. Sebenarnya, ia berguna untuk memelihara keharmonian perhubungan sesebuah pasangan. Lelaki mahupun perempuan boleh cuba mempraktikalkannya.
Saya sarankan ia digunakan untuk mengekalkan atau memekarkan lagi kasih sayang antara suami dan isteri. Kerana pahala pasti dijanjikan buat suami dan isteri yang saling memuji pasangan.
Jangan lah pula tips ini ini digunakan untuk memcari yang HARAM. Si suami menjerat si dara dan si isteri curang dengan yang lain. Nauzubillah...
Dunia sekarang penuh cabaran, siapkan diri anda.

Thursday, July 22, 2010

Syukur, Kita Bertemu Kembali Ya Ramadhan.

Terbitnya siang dan malam silih berganti,
Bukti masa dan ketika tetap berputar,
Sehingga Allah katakan 'berhenti,
Maka semuanya kan bergegar.

Hari demi hari dilalui,
Akhirnya kan tiba kini,
Allah masih merahmati,
Fadilat Ramadhan dapat dinikmati.

Wahai rakan yang masih leka,
Sedarlah kita masa tak menunggu kita,
Jangan sampai Allah menjemput kita,
Dengan keampunan yang tidak dipinta,
Gentarnya jiwa terbayangkan kan seksa,
Jika Allah tak sayangkan kita.

Selamat Menyambut Kedatangan Ramadhan Al- Mubarak...

Wednesday, July 21, 2010

Lingkaran Hitam di Mata Ku.

Tajuk apa la malam ni. Entah lah itu yang terfikir di saat-saat begini. Aku rasa aku saja yang mengalami emosi ibu mengandung sebegini. Macam buntu, tak tahu nak buat apa sehari-harian. Kalau tak, ada je aktiviti aku nak buat. Menjahit baju, masak-memasak, belum ditambah dengan jadual aku merayap ke sana kemari.

Mengandung kali ini, memang lain sikit. Betul kot kata orang, mengandung ni makin lama makin penat. Bukan nak merungut, cuma terkenang. Namun, bagi aku, kudrat yang Allah berikan berlainan dengan badan setiap manusia. Itu pun, aku bersyukur kerana fenomena aku mengandung tak seperti yang dialami oleh emak aku. Lagi teruk, muntahnya sampailah keluar anaknya. Tak boleh bangun, nak baring saja, makan semua tak boleh masuk. Itu tak boleh ini tak boleh..Alhamdulillah aku tak sebegitu.

Hidup yang kujalani masih normal. Cuma, terkadang kena melawan saat-saat hormon tak stabil.

Contohnya, tabiat aku sejak dua menjak ni, tak boleh nak tidur dengan lena waktu malamnya. Biarlah pagi tadi terlalu penat, tak tidur tengah hari ke, aku tetap susah nak tidur. Sampaikan adik aku, emak aku masuk ke tandas pun aku boleh sedar. Payahnya nak lelapkan mata. Mulalah, zikir tak putus-putus di bibir. Selalunya, aku tertidur dalam berzikir itu. Sampai sekarang tabiat tu, tak hilang lagi.



Maka, emak aku menegur yang lingkaran gelap di mata ku dah ada. Dah lah berkaca mata, lagi la pucat. Ada juga terfikir nak pakai produk-produk yang ada dipasaran sekarang ni. Tapi, aku jenis yang ringkas. Takut membazir beli tapi malas nak pakai.
Jadi, biarlah gelap sekejap. Entah-entah lepas pantang nanti, kembali normal. Sebab aku ni bukan kategori berlingkaran mata. Kot pembawakan budak..hee
Kalau rakan-rakan yang menjenguk di blog saya ni, memiliki sebarang petua yang mudah..selain daripada tidur awal..berkongsilah dengan saya. Saya ni kalau bab-bab kecantikan memang tak berapa handal sgt. Yang asas je pandai..

Monday, July 19, 2010

Fenomena "WANGKAN" Facebook Anda.

Seperti manusia lain, aku turut tak terkecuali dalam arena ber facebook ini. Sungguh besar pengaruhnya, kerana di arena ini lah aku bertemu rakan-rakan lama seperti teman-teman di sekolah rendah pun aku jumpa. Bila bosan, ada juga rakan berborak dan bergurau senda walaupun hanya jari jemari yang menari di papan kekunci. Tapi, bukan setiap masa ianya memberikan keseronokan. Bila tiba wak tu menjemukan, macam poyo je aku ngadap Facebook.


Sehinggalah suatu ketikanya, ada rakan memperkenalkan suatu program. Ye lah, dalam dunia moden ni macam-macam cara boleh mendapatkan wang. Cuma yang ditakuti adakah halal atau haram. Setelah aku difahamkan situasi dan cara kerjanya. Aku bersetuju dan cuba mengikuti langkah-langkah yang melayakkan aku menyertai kumpulan tersebut.








Berkerut juga kening dan dahi aku, untuk memahami motif kumpulan ini. Apa kerjanya, macamana pendapatannya. Tapi bila difikirkan, kalau kita melayari Facebook dan ada sesuatu yang menabung, Ok jugak. Tak salah kalau aku mencuba, lagipun tak melibatkan apa-apa modal.


Bermula detik itu, aku konsisten dengan tugas itu. Kalau masa bekerja dulu, aku memang lakukan tugas aku sebaik mungkin. Tapi entah apa yang tak betul, bos yang macam-macam dengan aku. Jadi aku gunakan kelebihan aku disitu. Lagipun bukan berat sangat tugas nya, bersesuaian dengan nama kumpulannya "Setiap Hari 2 Minit Sahaja".

Rupa-rupanya, aku diperhatikan. Atas kekonsistenan aku, aku dapat berkawan rapat dengan rakan-rakan admin. Mereka banyak membantu aku dari pelbagai sudut. Memang tak kedekut ilmu langsung mereka berdua yang ku gelarkan sebagai Musa dan Farid.

Jadi, sekarang ni menanti hasil...cuma yang tak bestnya. Hasil tu menjadi lambat kerana tak ramai yang aktif. Kalau dapat tarik ramai orang, dapat lah naikkan income dengan banyak dan cepat sikit.



Disebabkan kesibukan aku kini,aku mula berjinak-jinak dengan peluang lain, contohnya pengiklanan online dan penulisan blog. Blog tu, pasal aku teringin nak merasa ada blog sendiri. Ada ruang nak bercerita dan berkongsi dengan rakan-rakan lain. Maklumlah, nak jual produk..huhu..banyak sangat modal aku, dan aku malas nak bersaing. Tapi, kalau ada tempahan jahit baju kurung, aku ok lagi. haha...



Apa-apa pun tanyalah pada hati anda. Aku pun dulu tak ada sesiapa yang memaksa kerana aku yang nak mencuba. Aku pun tak suka nak sindir-sindir orang yang tak nak turut serta macam orang MLM buat tu. Terpulang pada diri sendiri, tak salah nak mencuba dan tak salah nak berubah ke arah yang tak merugikan kita.

Kalau tertanya dan berminat dengan program yang aku katakan ini, boleh inbox aku di mana-mana yang korang suka ye...

sha_ayang83@yahoo.com- cari kat facebook..

Sunday, July 18, 2010

Bekas Kuih Tako ( Belajar dgn cara sendiri)

Sedar tak sedar, Ramadhan makin menghampiri kita. Seronoknya hati bila dikunjungi bulan yang penuh berkat itu. Peniaga mula lah meikirkan strategi menjana keuntungan Ramadhan. Macam-macam. Aku dulu pun tak terkecuali, mula lah byk tempahan baju kurung. Tapi, aku menjahit tak lah hebat mana. Sekarang ni agak perlahan, maklumlah orang takut kot...aku tak larat nak menjahit..


Semalam, ada seorang penjual kuih bising nak buat kuih Tako. Aku tersenyum je, kerana resepi leh cari bila-bila masa. Cuma yang melecehkan kerana network lembab di sini. Dah jumpa resepi, ada rakan facebook bertanya, " Senang ke nak buat bekas dia, potong-potong daun pandan tapi tak jadi.." aku pun terfikir, kalau nak buat banyak, takkan lah nak terkial-kial anyam satu-satu bekas. Akhir sekali, timbul idea ni. Maklumlah budak baru belajar.

AKU RASA, ADA ORANG LAGI PANDAI, TAPI YANG SELALU JUMPA SEMUA KEDEKUT ILMU. TAK NAK BAGITAHU..AKU PUN MENGGUNAKAN OTAK YANG DIBERIKAN ALLAH SWT.
Walaupun kecil ilmu ku ini, saja nak berkongsi..BUKAN NAK TUNJUK PANDAI TAU!! Ini buatan tangan budak baru belajar, Nora namanya..hahaha
Nak buat casing Tako ni, material yang penting adalah daun pandannya. Kalau nak cantik, lebih baik cari yang lebarnya besar sedikit. Di rumah emak saya ni, tu la besarnya. Tak berapa sangat. Setakat nak belajar tu boleh lah...




Lipatkan daun itu dengan lebar yang sama panjang. Picit setengah lebar daun je..kalau tak patah daun pandan tu atau terkoyak nanti.
Teknik adalah untuk mendapat kan bucu bekas Tako tersebut dan memudah kan kita nak menganyam nanti.



Lipatkan sebanyak 4 kali, tekan sikit di bahagian bawah daun untuk mendapatkan sedikit garisan.








Buka lipatan tadi, dan bentukkan daun itu seperti di dalam gambar. Hujung daun masukkan ke dalam.








Ketip di bahagian atas daun je. Potong bahagian daun yang terlebih tu. Guntingkan setiap bucu. Ingat...separuh dari pada lebar daun sahaja...

Bila dah gunting , daun tu jadi macam gambar di atas. Anyamkan berselang-seli. Ala..macam kita lipat kotak...
Tu lah sebabnya kena cari daun besar. Macam ni kan ada lubang, sebab daun yang digunakan tak lebar sangat.







Tapi, boleh guna juga..tambahkan daun yang potong untuk menutup lubang..dah siap. Leh buat kuihnya lepas ni pulak..
Terima kasih kepada ibunda kerana sudi jadi model tangan, saya director saja..hahaha
AMACAM, BUDAK BARU BELAJAR BUAT CASING TAKO. IKUT SUKE JE...
MEMANG ADA CARA LAIN..TAPI DAH NI JE YANG SEMPAT DIFIKIRKAN..
SAJA KONG-KONGSI..

Saturday, July 17, 2010

Penatnya Hari Ini.

Seperti yang dirancang, pukul 8.00 pagi aku, emak dan anakku bertolak ke rumah kakak ku. Kami nak jalan sakan hari ni. Tak de lah juga. Cuma nak turun ke Malim Nawar, nak singgah di Pekan Sabtu. Nak cari sepasang dua baju mengandung aku. Ada banyak pilihan di situ. Macam pepatah zaman sekarang..macam-macam ada. Cuma, sediakan saja duitnya.Cey..big mama nak beri pose baik bunya. (hehe...). Perjalanan terhenti di pekan Kampar, kerana kami nak bersarapan dahulu. Aku pun menyental sepinggan nasi lemak dan sekeping roti canai. Bukan apa, berkongsi dengan anakku, Izzat. Terserempak pula dengan saudara, sibuk emak dan kakak ku bersembang dengannya. Aku terus menyental..(huhu..tak ada seleralah katakan)

Sampai sahaja di destinasi, objektif dilaksanakan. Lepas memilih-milih, menyarung-menyarung, ada yang macam sarung nangka, ada yang jahit tak betul. Akhir sekali dapat la juga sepasang, yang lain tak berapa berkenan. Tak apa, cari di lain hari pula.

Perjalanan diteruskan ke rumah emak mertua kakak aku. Aku panggil dia dengan nama Opah Tun je. Opah ni pandai mengurut bab-bab nak betulkan kedudukan anak dalam perut ke, naikkan kedudukan anak ke. Tujuan aku, nak naikkan kedudukannya pasal aku rasa terseksa nak berjalan. Macam ada sesuatu menyengkang di situ. Sekaligus, minta air selusuh..Aku berusaha je, urusan semua di tangan Allah.

Yang peliknya, kata Opah tu kedudukan bayi tiada masalah. Semua ok. Apa masalahnya. Emak aku mencelah, setiap anak ada saja keadaannya. Aku pun mengiyakan saja. Ye lah..lain anak lain ragamnya.

Selesai semua urusan, kakak aku bantai duk bersembang dengan ipar dia. Adui..lamanya...dengan panas, menitik peluh. Takkan lah aku nak bising ajak balik. Deritanya aku rasakan. Perbualan orang kampung biasalah..aku nak mencelah pun tak pandai. Sabar-sabar..akhirnya anak aku minta nasi. Ye lah..dah tengah hari...dapat lari..huhuh... Bukannya terus balik rumah. Perjalanan tu diteruskan ke Tesco pulak. Lepas makan nasi, shoping dalam Tesco. Aku pun mengambil kesempatan beli baju baby sepasang dan stokingnya dua pasang. Aku tak suka membazir..barang abangnya ada lagi..




Inilah anak sulungku yang tersayang, Muhammad Izzat Yusuf, berumur 2tahun. Malam ini, nampak skit dia tak berapa sihat. Hidung berair dan ada tanda-tanda nak batuk plak. Dah lama dia tak macam ni. Dah besar begini, mula lah liat makan ubat. Dulu senang je..sumbat dia telan, sekarang dah pandai luah-luahkan. Nasib baik ibu dia besar, kasi peluk sama dia..haha

JADI, INILAH DIARI HIDUPKU HARI INI...
















Friday, July 16, 2010

Bukanlah pendakwah...hanya mengingati diri sendiri.

Hari jumaat mengandung pelbagai perkara-perkara tersirat dan sunat boleh di kecapi oleh insan yang bergelar Hamba Allah. Sedang termenung, aku melihat langit terbentang luas. Gelap, dengan kekalutan malam, tiada bintang di kunjungi mendung. Teringat aku bagaimana dikatakan langit akan pecah berkecai bila akhir zaman nanti. Waktu itu, manusia kan bertempiaran lari. Ya Allah, permudahkan perjalanan hamba Mu ke sana nanti.

Dalam aku menjalani kehidupan ini, tipulah kalau tidak pernah melakukan kesilapan. Aku akui dengan kesilapan itu mengajar aku erti kehidupan dan kematangan dalam diri aku menempuh pelbagai lagi onak cabaran yang menanti.




Setelah, aku tersungkur berkali-kali aku kembali mengingati Nya dengan linangan air mata keinsafan. Aku bersyukur kerana Allah tak memalingkan kasih sayangNya buat aku. MengingatiNya, menyedarkan aku dengan ketidaksempurnaan ku. Aku cuba, namun..aku insan biasa. Perlukan sokongan dan bantuan. Tak selamanya aku ingin jadi insan yang tiada guna. Hina sangatkah diri ini...



Kalimah membesarkan dan memuji Allah tak lekang di bibirku setiap hari. Terasa dugaan Allah beri, tak mampu ku hadapi. Tapi, jauh ku semat di hati, Allah menduga berdasarkan kekuatan iman seseorang itu. Ramai lagi di luar sana di duga dengan dugaan yg lagi besar. Besar sungguh ingatan Allah kepada mereka. Moga mereka hadapinya dengan tabah. Justeru itu, aku tabahkan hati dengan kalimah Laila hailallah mohon kekuatan sanubari.

Membaca kata-kata ku ini, ibarat ada batu besar menghempap diri. Bukan..mungkin terbawa hasrat di hati. Entah bila dapat di rasai..Rindukan ketenangan, rindukan kedamaian, rindukan pedoman, rindukan kasih Mu YA TUHAN...








Thursday, July 15, 2010

Aku juga insan biasa..

Menghitung hari, detik demi detik. Sedar tak sedar nanti, tahun 2010 akan berakhir jugak. Kenapa aku terasa sangat, kerana awal tahun 2010 ini disambut dengan berita gembira aku hamil anak kedua. Suamiku menerima berita ini dengan gembira, maklumlah..sejak anak sulungku berusia 2tahun, itu saja soalan yang terpacul dari mulutnya. Aku pun suka kalau mengandung pada usia yang agak muda lagi ni. Maklumlah aku ada sejarah perubatan yang agak tidak menyenangkan.



Aku ni tergolong dalam kategori orang yang alahan kuat. Bermulalah dari bulan pertama, muntahnya tak payah nak cerita. Apa yang dimakan tak jejak ke perut. Pening dan pitam bermain di kepala. Berat badan pun turun merudum. Walaupun begitu, itu bukan lah alasan aku terpaksa melepaskan semua tanggungjawabku sebagai ibu dan isteri. Kerjaku seperti biasa. Bangun seawal 5 pagi untuk bersedia ke tadika, ketika itu aku masih bertugas sebagai guru. Bila habis sekolah, ke kedai membeli bahan nak memasak. Balik rumah, meneruskan kerja di rumah pula. Kekadang, menangis sendirian aku bila tersandar ibarat dah tak ada tenaga langsung nak kuperahkan. Tapi, apa yang aku fikirkan, Allah dah berikan rezeki yang mungkin orang lain masih belum dapatkannya walaupun sudah berumahtangga beberapa tahun. Jadi, kenapa aku nak merungut..tak baik. Itulah motivasiku, menghadapi saat-saat hormon ku tak menentu.



Namun, jatidiri yang aku teguhkan itu kadang-kadang tersungkur juga. Pilu bila menghadapi orang yang ingat aku ni mengambil kesempatan dengan keadaan dan pura-pura sakit. Menangis sendirian, aku tak suka tunjukkan perasaan aku dihadapan orang. Orang akan anggap aku mengada-ngada. Walhal, kan banyak dalam mana-mana bacaan, hati ibu yang mengandung ini sungguh sensitif. Tak apalah, aku memang suka bermonolog dalam hati. Sebab bukan semua faham apa yang dihadapi oleh ku. Situasi yang menenangkan bila aku sujud dan berdoa padaNya. Pada aku, Dia lah satu-satunya yang tak berpaling dari aku dan akan mendengar luahanku bila-bila masa.



Dengan kesabaran itu, aku lalui kehidupan ini. Tak mengharapkan simpati siapa-siapa. Kadang-kadang tak lalu nak makan kerana paginya terlalu penat dengan kerenah anak sulungku dan kerja rumah yang tak pernah surut. Wajah dimaniskan depan suamiku. Apa dilakukan, aku tak berkata apa...Ya Allah, kuatkan semangat aku. Biarlah aku lalui detik-detik ini dengan penuh gembira.



Kejadian ini juga telah mempengaruhi pekerjaan aku. Tak nak lah aku menceritakan keburukan orang. Yang pasti, aku berhenti kerana aku tak larat nak teruskan tugasan aku dalam keadaan yang sungguh melesukan. Pemberhentian itu juga memburukkan hubungan aku dengan mertua dan adik-beradik ipar yang lain buat seketika. Aku mendiamkan diri. Ditambah lagi dengan kisah aku yang ditokok tambah oleh majikan..Ya Allah, berikan aku kekuatan.



Detik ini, kandungan aku sudah berusia 6 bulan lebih. Alhamdulillah, tiada masalah kesihatan yang membimbangkan. Cuma aku kena kawal berat badan. Tergelak aku..dalam makan tak selera tu, berat badan naik pula.Mungkin banyak air kot...Apa-apa pun syukurku kepada Allah sehingga detik ini. Dia telah memberikan aku kekuatan jiwa dan perasaan yang sungguh menakjubkan. Aku juga insan biasa. Ada kala gembira, sedih, marah dan kecewa..

Wednesday, July 14, 2010

Ada apa pada MENGIDAM...?


Mengidam...perkataan ini begitu sinonim dengan wanita yang sedang mengandung. Biasalah kan, ia akan dikaitkan dengan benda yang pelik-pelik. Kadang-kadang, entah apa-apa yang diidamkan untuk menyedapkan tekak yang tengah tak betul tu...


Begitu juga dengan diri ini, tak lepas dari dugaan itu. Namun, Alhamdulillah..tekak ni tak de lah merepek-repek yang dimintanya. Cuma, yang menjadikan ianya payah, kerana terpaksa memohon simpati dari ayah kepada kandunganku ini..siapa lagi..HUBBY aku la.


Memang dugaan, kalau senang dapat apa yang diidam, tak lah orang katakan ianya MENGIDAM ye. Setelah dua, tiga kali aku minta, tak dapat, aku mula diamkan saja. Dari usia kandungan 4 bulan hinggalah ke 7 bulan. Aku redha, dan tak nak fikir sangat. Tapi, rupa-rupanya selagi tekak ni tak dapat apa yang dihajatkan...rasa macam tak sedap je apa yang ditelan...ni lah dikatakan MENGADA-NGADA. Kalau aku boleh cari sendiri, memang aku rayap segenap alam mencarinya..tapi, apa nak buat tak larat..


Sehinggalah, aku ke pekan KAMPAR, mata ku tertumpu di suatu kedai yang tak berapa glamor....

Melihatkan kepada pembungkusannya pun dah nampak tak glamor kan. Tapi, bak kata perut aku, AKU PEDULIK APA!! Seronok tak terkira, senang rupanya nak cari kat kampung aku sendiri. Tak payah nak harap orang. Akhirnya, perut aku dah tak de rasa nak kepingin dah...selesai...Alhamdulillah...



Tuesday, July 13, 2010

Kenapa jadi macam ni ye? Lelaki dan perempuan..sama je...(TAK GUNA!!!)

Hm..sedikit demi sedikit blog aku tercipta seperti yang sepatutnya. Yang penting ada tempat dan ruang untuk aku meluahkan rasa.

Bila jemari aku menaip, terus aku terkenangkan kisah semalam. Aku bersama emak dan kakak aku pergi ke Hospital Taiping menjenguk jiran kakakku yang pernah menjadi kawan berbual suatu ketika dulu. Sejak rumahtangganya dilanda krisis, KAK itu membawa diri tinggal di rumah anak. Tapi, rupa-rupanya di halau oleh insan yang bergelar suami.

Sepanjang ku kenali KAK tu, dia bukanlah jenis yang melawan, tak jaga makan minum suami malah pengorbanannya sehingga melahirkan 11 orang anak buat suaminya, seperti tidak dihargai. Dia juga menjalankan tanggungjawabnya meringan beban suami dengan membantu mengangkat barang2 berat yang tak setanding dengan kudrat lembutnya. Akibat itu, sekarang dia terlantar akibat kerja-kerja berat itu. Dia baru mengetahui yang dia menghidapai ketumbuhan di dalam perut dan memerlukan pembedahan segera. Mengikut jadualnya, hari ini sepatutnya pembedahan itu dijalankan.

Ketika, si isteri bergelut dengan kesakitan, sepatutnya si suami yang dicintai ada di sisi. Menjadi penenang hati dan kuatkan semangat isteri menempuhi cubaan Illahi. Tapi, apa yang terjadi dalam kisah KAK ini, dia bersendirian. Namun Allah mengasihani hambaNya, 11 orang anak yang dikurniakan begitu bagus hati nuraninya dan membela nasib ibu yang teraniaya. Walaupun sedih mengenangkan si suami, namun KAK itu perolehi kekuatan dari semangat anak-anaknya.

Si suami, depan-depan mata aku, duduk serumah dengan perempuan bukan muhrim yang umurnya lagi muda dari aku...benci, meluat aku dengan lelaki dan perempuan yang mencintai haram dari yang halal.

Apa yang mampu, aku berdoa semoga Allah berikan kekuatan kepada KAK, kerana Allah mengasihani hambaNya yang sabar menempuhi dugaanNya. Aku pun turut berdoa, jangan la nasib itu terpalit juga dalam kisah sejarah hidup aku. Amin.

Monday, July 12, 2010

Terus membiasakan diri.

Walaupun agak payah nak menyiapkan laman blog ini sepuas hati aku, aku tetap terus mencuba. Hehe..punya lah semangat nak ada blog sendiri. Semoga ada guna padaku.





Aku terus membiasakan diri dengan menaip post yang ringan dahulu, macamlah lepas ni aku nak paparkan tajuk-tajuk berat ye..yo o o je tu..





Apa kata, kita sambung kisah terakhir yang aku taip.

Gambar kenangan aku di Tadika Alya Az-Zahrah. Mereka ni murid aku di kelas 5Tahun. Sikitkan, hari tu ada beberapa murid yang tidak hadir. Lagipun memang murid aku tak ramai dalam 1 kelas. Itulah sebabnya, senang fokus nak mereka mudah memahami pelajaran.

Satu-satunya murid perempuan aku tu, namanya Hasya Sofiya. Kalau nak tahu, masa mula-mula daftar masuk tadika dulu, kesian dia..tak reti cakap melayu..speaking always..seronok juga melayan dia. Tapi, tak dinafikan mereka semua pintar mudah menerima ilmu.

Tak lupa si kecik yang aku pegang tu. Anak sulung aku. Bertuah aku kerana, berpeluang menjaga dia walaupun bekerja kerana dia menyusu badan dan tak reti-reti nak menyusu botol. Lagi menyeronokkan kecil-kecil lagi dia da pergi tadika..hehe

Sunday, July 11, 2010

Lagi tentang saya...

Melihat tajuk di atas, dah macam nak buat karangan bebudak sekolah je kan. Tapi, saya cuba nak jadikan blog saya 100% dalam Bahasa Melayu. Rindu zaman aktif menulis dahulu.

Saya di lahirkan dalam keluarga yaang sederhana dan di ajar hidup dengan besederhana. Memang tak pandai nak bermewah-mewah ni. Benda berjenama jauh sekali. Bukan boikot atau tak suka, cuma saya mengamalkan "ukur baju di badan sendiri".

Saya mempunyai seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Memang tak besar mana keluarga saya. Tapi, saya juga mempunyai adik-beradik lain bapa sama ibu..jadi, secara tidak langsung saya ada dua orang abang dan seorang kakak.

Menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan Ampang, Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Kelang, Sekolah Menengah Kebangsaaan Malim Nawar, dan paling tertinggi sekali UiTM, Shah Alam.


Habis belajar, saya cuba menceburi pelbagai kerja, tapi langsung tak berminat nak minta kerja di kilang makanan tu. Yang saya minat berniaga makanan, masak-memasak dan sewaktu dengannya. Sehinggalah kisah saya bermula di sebuah pusat perkembangan kanak-kanak, menyebabkan saya terjerumus terus menjadi guru tadika dan terus menjadi guru tadika...padahal saya ni lemah sikit dengan bebudak kecil ni.



Kepuasannya, seronok tengok anak-anak kecil didikan kita faham apa yang dipelajari dan boleh mengerjakannya.







Saturday, July 10, 2010

Bila jemari ku menaip..

Hari ini, detik dan ketika ini saya mula melancarkan blog saya sendiri. Setelah puas menilik, membaca dan melayari laman blog orang, terbit rasa teringin di hati ini untuk memiliki laman sendiri. Walaupun bukanlah insan yang bergelar hebat IT, namun saya cuba juga selangkah demi selangkah untuk menjadikan impian saya suatu realiti.

Jadi, untuk menerbitkan post yang sulung ini, apa kata saya mulakan dengan sesi perkenalan. Biasalah kan, kalau budak baru belajar macam saya ni.

Nama saya Norazima Bt Muhamod Razali. Dalam keluarga, gelaran panggilan saya begitu jauh dari nama yang betul hingga pernah saya rasa tak berminat dengan nama sendiri. Ahli keluarga memanggi saya dengan nama 'Sayang', hingga lah dah berumur 27 tahun ni. Di sekolah sebagai Zima, Di Universiti sebagai Sha hingga melekat dalam keluarga mentua. Namun bila jadi cikgu tadika, saya glamor sebagai Cikgu Nora. Baru citer pasal nama dah berjeler panjangnya.

Hidup saya, normal sebagai suri rumah. Detik ini saya sedang mengandungkan anak yang kedua, sudah nak mencecah 7 bulan. Bersederhana dan cuba menjadikan setiap detik-detik hidup ini sungguh bermakna dan tidak berlalu begitu saja.

Hm..cukup lah untuk salam perkenalan ini. Memang ringkas yang amat sangat. Takpe..masih ada banyak masa lagi ye...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...